Naxs samurai

Tuesday, September 18, 2007

KESEDERHANAAN
MEMBICARAKAN konsep kesederhanaan dalam Islam bukanlah bererti mempersoalkan keimanan dan amalan seseorang. Karena iman itu adalah jelas konsepnya, iaitu mengakui kewujudan Allah, kekuasaan dan ketinggian-Nya serta kesempurnaan sifat-Nya.
Konsep kesederhanaan ini dilihat dalam konteks yang lebih luas adalah terungkap di dalam firman Allah s.w.t. yang menyebut tentang umat ini sebagai umat pertengahan - (ummatan wasatan).
Umat yang membawa amalan kesederhanaan, atau umat pertengahan, ialah umat yang diciptakan Allah sebagai umat yang bertindak secara adil dan saksama untuk mewujudkan kesejahteraan manusia di dunia yang membawa kesejahteraan di akhirat.
Umat Islam yang beriman ialah umat yang menerima perintah Allah tanpa soal jawab lagi. Bagaimanapun mereka tidak pula cuba untuk menggambar atau memikirkan tentang zat Allah. Mereka hanya boleh memikir, mengkaji dan memeriksa kejadian dan seluruh makhluk dan ciptaan Allah, tetapi tidak cuba untuk memikirkan tentang zat Allah, kerana hal ini adalah di luar kemampuan pemikiran mereka. Zat Allah tidak dapat diperiksa dengan ukuran-ukuran fikiran manusia iaitu dengan cara menggunakan logik, perbandingan (analog), definisi dan mencari kriteria-kriteria atau piawaian yang tertentu. Manusia yang cuba menerokai aspek ini, mungkin akan berakhir dengan kesesatan dan jalan buntu yang tiada penyelesaiannya.
Percubaan-percubaan mengkaji dan memikirkan zat Tuhan dengan ukuran-ukuran duniawi, dan kebendaan inilah yang juga menghasilkan kepercayaan menyeleweng seperti kepercayaan yang mengatakan bahawa Tuhan mempunyai anak, atau malaikat-malaikat itu anak-anak perempuan Tuhan dan sebagainya.
Segolongan manusia lain pula telah melampaui batasan iman dengan kepercayaan mereka bahawa dunia dan makhluk serta segala sesuatu yang wujud di dalam alam ini terjadi dengan sendirinya mengikut undang-undang tabii. Segala-galanya akan berjalan dengan baik sehinggalah berlaku sesuatu kesilapan tabii yang akan mengakibatkan kemusnahannya. Kepercayaan ini berasaskan kepada penemuan-penemuan akal manusia tentang proses perubahan alam yang dikajinya, penemuan-penemuan baru dan sebagainya.
Allah mengingatkan golongan ini bahawa kejadian langit dan bumi seharusnya membawa manusia kepada beriman, iaitu apabila manusia mengkaji kejadian alam dan segala ciptaan Allah, menemui rahsia yang tersembunyi di daratan dan di lautan, serta perut bumi, manusia seharusnya akan yakin tentang kewujudan Penciptanya yang berkuasa dan maha besar, iaitu Allah s.w.t. (al-Quran Al-Imran, 3 Ayat 190). Lihat juga al-Quran:2:164, 3:191).
Jadi, dapatlah dikatakan bahawa Islam mengambil jalan tengah dalam menanamkan keyakinan dan keimanan kepada Allah, iaitu tidak hanya dengan penonjolan fizikal dan bukti-bukti empirikal sahaja, dan tidak pula dengan unsur-unsur maknawi secara ''abstrak'' semata-mata sehingga sukar untuk manusia memerhati dan memahaminya.
Malah Islam meletakkan asas-asas kepercayaan manusia berdasarkan pemikiran akal, ajaran-ajaran kerohanian dan ''ta'ababudi'' iaitu kepercayaan mutlak kepada Allah tanpa bersoal jawab dalam bahagian-bahagian yang telah ditentukan.
Islam meletakkan kuat kuasa peraturan dan ajarannya mengikut kemampuan manusia untuk mematuhi dan melaksanakannya. Al-Quran menegaskan tentang perkara ini seperti berikut maksudnya:
''Allah menghendaki kemudahan bagi Kami, dan Allah tidak menghendaki kesusahan bagi Kami''. - (al-Quran 2:185)
''Allah tidak memberatkan seseorang kecuali apa yang terdaya olehnya''. - (al-Quran 2:286)
Malah Allah mengajar hamba-Nya supaya meminta dan merayu kepada-Nya dengan makna yang dinyatakan di dalam ayat berikut maksudnya:
''Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya''. - (al-Quran 2:286).
Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. ketika diminta memilih di antara dua pendapat, maka baginda sering memilih yang lebih ringan selama mana ianya tidak ditegah Allah. Baginda telah ditanya tentang kewajipan menunaikan haji iaitu adakah diwajibkan pada setiap tahun. Baginda menjawab bahawa sekiranya baginda menjawab ''ya'' maka hal ini akan menjadi wajib. Baginda juga pernah menegaskan:
''Bahawa Allah mengeluarkan perintah-Nya kepada kamu supaya melakukan sesuatu kewajipan, maka lakukanlah, jangan disia-siakan. Dia (Allah) telah menentukan sempadan-sempadannya, janganlah kamu melampauinya. Dia (Allah) menegahkan kamu dari melakukan sesuatu perbuatan, maka janganlah lakukannya''.
Hal ini membuktikan bahawa Islam amat bertimbang rasa dan mengambil berat akan kemampuan manusia dalam meletakkan sesuatu peraturan dan undang-undangnya. Ibadat puasa dan sembahyang umpamanya diwajibkan dengan sepenuhnya ke atas manusia yang sihat tubuh badan, sihat akal fikiran dan tidak ada unsur-unsur tertentu yang menghalangnya daripada menunaikan ibadat itu dengan memuaskan. Tetapi sekiranya manusia tidak mampu kerana kesihatan badannya terganggu, atau ketika mengembara yang pada ketika itu si pengembara akan mengalami sedikit kesulitan masa, tenaga, tempat yang asing dan sebagainya, maka Islam memberikan beberapa kemudahan yang tertentu bagi orang-orang itu menunaikan kewajipan berpuasa dan sembahyangnya. Contoh lain adalah seperti yang disebut Allah di dalam al-Quran maksudnya ''Maka (jika) kamu tidak mendapat air, hendaklah kamu bertayammum dengan tanah (debu) yang suci''. -- (Al-Quran 4:43 dan 5:6).
Ini berkaitan dengan kewajipan berwuduk bagi orang yang tidak mampu mendapatkan air (atau kerana sakit yang tidak boleh terkena air) maka wuduk itu bolehlah digantikan dengan ''tayammum'' menggunakan debu-debu pasir yang bersih mengikut kaedah-kaedahnya yang tertentu.
Manusia harus mematuhi ajaran-ajaran tertentu dan mengehadkan tindakan serta tatalakunya sesuai dengan kedudukannya sebagai hamba Allah yang tertakluk kepada peraturan dan undang-undang agamanya. Inilah jalan pertengahan yang diambil Islam dalam menentukan gerak laku dan tindakan manusia di atas muka bumi ini supaya manusia tidak menjadi makhluk yang bebas tanpa sekatan, atau menjadi makhluk yang dikongkong tanpa sebarang kebebasan sama sekali. Tujuan jalan pertengahan ini ialah untuk mewujudkan kesejahteraan dan kestabilan kehidupan manusia di dunia yang membawa kepada kebahagiaan manusia di akhirat (al-Quran 20:124-126).
Perhatikan firman Allah yang bermaksud:
''Dan demikianlah Kami jadikan kamu suatu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi saksi kepada umat manusia''. - (al-Quran 2:143)
Ayat ini mengemukakan konsep ''umat pertengahan'' atau ''umat pilihan'' dan ''umat yang adil''. Tafsir Pimpinan Al-Rahman keluaran Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri menterjemahkan ayat ini sebagai ''Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil''.
Sungguhpun pengertian ini tidak merujuk kepada umat pertengahan, umat sederhana dan sebagainya, tetapi dalam ulasan tafsir yang sama dinyatakan bahawa ''Umatan Wasatan'' bermakna ''umat yang pilihan lagi adil'' dan juga bermakna ''umat yang pertengahan'' iaitu ''pertengahan segala pembawaannya, tidak melampaui dan tidak keterlaluan dalam menganut kepercayaannya, demikian juga akhlak dan amalannya, segalanya berkeadaan di tengah-tengah, sama-sama dipandang, dipelajari dan diusahakan meliputi soal-soal dunia dan akhirat...''

No comments: